Skip to main content
JAKESS
Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Media

  • Utama
  • Media
  • Berita Terkini
  • LAWATAN KERJA RASMI SEKSYEN REKOD JAKESS KE JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI KEDAH BAGI MEMPERKUKUH PELAKSANAAN DDMS

LAWATAN KERJA RASMI SEKSYEN REKOD JAKESS KE JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI KEDAH BAGI MEMPERKUKUH PELAKSANAAN DDMS

Admin-Haeida

13 نيسان/أبريل 2026

68

670453426 1528223809303079 326214100601560116 n 663337237 1528221349303325 9122979231160395943 n

668602014 1528223719303088 4627739026346914051 n 669911573 1528223775969749 9118998341472371077 n

667714732 1528223799303080 5291104093225948418 n 670032148 1528223925969734 4534618415044615909 n

9 April 2026, Alor Setar – Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS) melalui Seksyen Rekod telah mengadakan Lawatan Kerja Rasmi ke Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah (JKSN Kedah) bagi tujuan penanda aras pelaksanaan Document and Digital Management System (DDMS) khususnya dalam aspek pengurusan rekod elektronik yang lebih sistematik, selamat dan berintegriti.

Delegasi JAKESS telah diketuai oleh Yang Amat Arif Puan Nenney Shuhaidah Binti Shamsuddin, Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor Darul Ehsan bersama seramai 40 orang pegawai dan kakitangan yang terdiri daripada Ketua Bahagian, Ketua Seksyen, Ketua Unit, Pegawai Rekod Jabatan, Pegawai Teknologi Maklumat, Pegawai Tadbir, Pegawai Syariah, Penolong Pegawai Syariah, Penolong Akauntan, Setiausaha Pejabat, Pembantu Tadbir, Pembantu Tadbir (Rekod), Pembantu Syariah, Pembantu Khidmat Am serta lain-lain perjawatan yang terlibat secara langsung dalam pengurusan rekod dan pentadbiran jabatan.

Ketibaan delegasi telah disambut oleh YAA Dato’ Syeikh Haji Abdul Rahman bin Haji Abdullah, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah bersama warga JKSN Kedah. Lawatan ini merupakan salah satu inisiatif strategik JAKESS dalam memperkukuh tadbir urus rekod jabatan selaras dengan keperluan pendigitalan perkhidmatan awam.

Sepanjang lawatan, delegasi JAKESS telah diberikan taklimat komprehensif berkenaan pelaksanaan DDMS di JKSN Kedah yang meliputi dasar dan garis panduan pengurusan rekod elektronik, proses pendigitalan dokumen, kaedah penyimpanan dan capaian maklumat serta aspek keselamatan data dan kawalan akses rekod.

Taklimat telah disampaikan oleh Yang Berusaha Ketua Pendaftar, Tuan Amirudin Putera bin Zainol Abidin, bersama Pegawai Rekod JKSN Kedah, Encik Badri bin Abdul Kader serta Pegawai Teknologi Maklumat JKSN Kedah, Puan Siti Raudhoh binti Md Subri.

Selain sesi taklimat, delegasi turut berpeluang meninjau secara langsung pelaksanaan operasi pengurusan rekod elektronik di JKSN Kedah bagi memahami aliran kerja digital bermula daripada pendaftaran rekod, penyimpanan, capaian sehingga proses pelupusan rekod. Sesi perkongsian amalan terbaik turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai pengalaman sebenar pelaksanaan DDMS termasuk cabaran yang dihadapi serta pendekatan penyelesaian yang dilaksanakan oleh JKSN Kedah.

Di samping itu, delegasi turut dibawa melawat ke beberapa unit dan bahagian di JKSN Kedah bagi melihat sendiri pelaksanaan kerja harian serta integrasi sistem DDMS dalam pengurusan rekod jabatan secara menyeluruh.

Sebagai persediaan kepada pelaksanaan DDMS, JAKESS turut memperkukuh pembangunan Templat Klasifikasi Fail (KF) yang menjadi asas penting dalam pengurusan rekod digital. Dalam hal ini, kronologi pelaksanaan Templat Klasifikasi Fail JAKESS telah dibentangkan oleh Encik Sofian bin Ibrahim, Ketua Seksyen Rekod JAKESS yang juga merupakan Pegawai Rekod Jabatan (PRJ), yang menghuraikan perkembangan pelaksanaannya di JAKESS sejak tahun 2014 melalui penggunaan kod klasifikasi fail yang seragam di peringkat Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN). Usaha ini seterusnya diperkemaskan semula oleh JAKESS mulai tahun 2023 melalui beberapa siri semakan bersama Arkib Negara Malaysia bagi memastikan struktur klasifikasi fail yang lebih tersusun, standard dan selaras dengan keperluan pelaksanaan DDMS.

Lawatan ini juga mengambil kira Arahan Amalan No. 3 Tahun 2016: Dasar Pengurusan Rekod Penting Jabatan Kehakiman Syariah/Mahkamah Syariah Seluruh Malaysia sebagai rujukan utama dalam memastikan pelaksanaan pengurusan rekod digital yang mematuhi standard dan keperluan perundangan termasuk Akta Arkib Negara 2003 serta Kaedah-Kaedah Arkib Negara 2007.
Antara objektif utama lawatan adalah:

• Melihat secara langsung pelaksanaan DDMS di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah.
• Mendapatkan pendedahan berkaitan aliran kerja pengurusan rekod digital secara menyeluruh.
• Memahami aspek pematuhan perundangan, keselamatan maklumat dan kawalan akses rekod.
• Mengenal pasti cabaran pelaksanaan serta pendekatan penyelesaian yang telah dilaksanakan.
• Menjadikan JKSN Kedah sebagai penanda aras bagi perancangan pelaksanaan DDMS di JAKESS.

Dalam sesi ucapan balas, Yang Amat Arif (YAA) Puan Nenney Shuhaidah Binti Shamsuddin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAA Dato’ Syeikh Haji Abdul Rahman bin Haji Abdullah serta warga JKSN Kedah atas kesudian menerima lawatan delegasi JAKESS dan perkongsian ilmu berkaitan pelaksanaan DDMS. Beliau menzahirkan bahawa lawatan ini amat memberi manfaat dalam memperkukuh tadbir urus rekod digital yang lebih sistematik, selamat dan berintegriti serta berharap agar kerjasama strategik antara kedua-dua jabatan dapat diteruskan melalui perkongsian ilmu, kepakaran dan amalan terbaik pada masa akan datang.

Sebagai penutup program, sesi pertukaran cenderahati telah diadakan sebagai tanda penghargaan dan kenang-kenangan antara JAKESS dan JKSN Kedah. Penyampaian cenderahati telah disempurnakan oleh YAA Puan Nenney Shuhaidah Binti Shamsuddin kepada YAA Dato’ Syeikh Haji Abdul Rahman bin Haji Abdullah sebagai simbol penghargaan atas kesudian menerima lawatan serta perkongsian ilmu yang amat bermakna. Sesi ini turut mencerminkan hubungan kerjasama erat antara kedua-dua jabatan dalam memperkasakan pengurusan rekod digital dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kehakiman syariah.

Secara keseluruhannya, lawatan kerja rasmi ini telah mencapai objektif yang ditetapkan dengan memberikan pendedahan menyeluruh mengenai pelaksanaan DDMS dalam persekitaran Mahkamah Syariah. Program ini bukan sahaja memberi input berguna kepada JAKESS dalam memperkukuh pengurusan rekod digital, malah turut mengeratkan hubungan kerjasama strategik antara Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah.

Usaha berterusan ini diharapkan dapat menyokong agenda transformasi perkhidmatan kehakiman syariah yang lebih cekap, sistematik dan berintegriti selaras dengan perkembangan teknologi serta keperluan semasa pengurusan rekod sektor awam di Malaysia.