MAJLIS PERISYTIHARAN DAN PENTAULIAHAN PEGUAM SYARIE







78 PEGUAM SYARIE NEGERI SELANGOR TERIMA SIJIL PENTAULIAHAN
30 Disember 2024, Shah Alam – Seramai 78 orang peguam syarie yang baharu dilantik hari ini menerima sijil pentauliahan dalam Majlis Perisytiharan Dan Pentauliahan Peguam Syarie yang diadakan di Dewan Muktamar Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS).
30 Disember 2024, Shah Alam – Seramai 78 orang peguam syarie yang baharu dilantik hari ini menerima sijil pentauliahan dalam Majlis Perisytiharan Dan Pentauliahan Peguam Syarie yang diadakan di Dewan Muktamar Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS).
Majlis disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Dr. Mohammad Fahmi bin Ngah, EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor.
Dalam ucapan beliau, YB Dr. telah menyampaikan amanat kepada peguam syarie baru Negeri Selangor ini antaranya menjaga intergriti, merahsiakan rahsia anak guam, menjaga aib anak guam, meningkatkan pengetahuan hukum syarak, menghormati mahkamah, tidak memudaratkan anak guam dan beberapa amanat yang lain.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada para peguam baru yang telah ditauliahkan dimana pelbagai cabaran telah dilalui mereka namun ia mampu menjadikan mereka seorang peguam syarie yang kuat.
Sementara itu, YAA Dato’ Mohammad Adib Bin Husain Ketua Hakim Syarie Selangor dalam ucapan aluan beliau berharap agar semua peguam syarie dapat menjaga etika dan disiplin termasuklah sesama rakan peguam, mahkamah syariah dan anak guam.
Beliau turut memberi peringatan bahawa Mahkamah Syariah Negeri Selangor merupakan mahkamah dengan pendaftaran kes tertinggi di Malaysia sekaligus menyeru agar peguam sentiasa bersedia mengendali dan menyelesaikan kes dengan bijak dan segera tanpa mengenepikan prosedur yang telah dikanunkan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Tuan Che Saupi bin Che Husin, Penolong Penasihat Undang-Undang Syariah Negeri Selangor, Puan Nenney Shuhaidah bin Shamsuddin, Ketua Pendaftar JAKESS, YA-YA Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Ustazah Dr. Hajjah Norzaihan binti Mohd Zain, Timbalan Setiausaha (Operasi) Majlis Agama Islam Selangor, Tuan Hairunnajmi bin Haji Najmuddin, Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Selangor serta barisan lantikan baharu peguam syarie Negeri Selangor.
Semoga segala usaha mendapat keberkatan dan ucapan tahniah buat kesemua 78 peguam syarie negeri Selangor yang terlibat dalam majlis pada hari ini.