Skip to main content
JAKESS
Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Mahkamah Rendah Syariah Hulu Selangor

Seminar Kefahaman Undang-Undang Syariah Siri 7 peringkat Hulu Selangor

MRS Hulu Selangor

29 Oktober 2025

54

29 Oktober 2025 – Seminar Kefahaman Undang-Undang Syariah Siri 7 yang bertemakan “Memahami Dinamika Jenayah Syariah” telah berjaya menarik penyertaan hampir 350 orang peserta yang terdiri daripada warga Hulu Selangor. Program ini telah berlangsung di Auditorium Haji Mansor, Akademi Bomba & Penyelamat Malaysia, di sini, pada Rabu lalu.

Seminar tersebut telah dirasmikan oleh YAD Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin bin Saidin, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Penganjuran seminar ini merupakan usaha bersama Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam memperkukuhkan kefahaman masyarakat terhadap undang-undang Syariah di negeri ini.

Siri ke-7 seminar ini menampilkan dua pengisian utama iaitu ceramah bertajuk “Pengenalan Mahkamah Syariah Negeri Selangor” yang disampaikan oleh Puan Marina binti Abdul Rahman, Pegawai Syariah JAKESS, serta forum bertajuk “Dari Mahkamah ke Masyarakat: Memahami Dinamika Jenayah Syariah”.

Forum tersebut menampilkan ahli panel berwibawa iaitu Tuan Mohd Hairuddin bin Ab Rahim selaku Hakim Mahkamah Rendah Klang, Tuan Mohd Nurulazhar bin Mohd Tohar selaku Hakim Mahkamah Rendah Sabak Bernam dan Puan Sofian binti Ahmad selaku Ketua Pendakwa Syarie Selangor, dengan Tuan Mohd Taufik Naim bin Kamaruddin bertindak sebagai moderator.

Peserta yang hadir terdiri daripada ketua-ketua kampung, imam dan ahli jawatankuasa masjid, guru KAFA, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), penjawat awam daripada pelbagai agensi kerajaan serta masyarakat awam di daerah Hulu Selangor.

Penganjuran seminar ini diharap dapat memberi pendedahan dan kefahaman yang lebih jelas kepada masyarakat mengenai bidang kuasa serta peranan Mahkamah Syariah, khususnya dalam konteks jenayah Syariah di Negeri Selangor. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini serta berharap agar usaha sebegini dapat diteruskan bagi memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap undang-undang Syariah.