Skip to main content
JAKESS
Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Media

  • Home
  • Media
  • Berita Terkini
  • BENGKEL PELUPUSAN REKOD SIRI II BAGI AHLI JAWATANKUASA PELUPUSAN REKOD URUSAN FUNGSIAN JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH SELANGOR (JAKESS)

BENGKEL PELUPUSAN REKOD SIRI II BAGI AHLI JAWATANKUASA PELUPUSAN REKOD URUSAN FUNGSIAN JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH SELANGOR (JAKESS)

Admin-Haeida

29 June 2026

48



                                         

                                        

26 Jun 2026, Shah Alam – Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) melalui Seksyen Rekod telah meneruskan pelaksanaan Bengkel Pelupusan Rekod Siri II bagi Ahli Jawatankuasa Pelupusan Rekod Urusan Fungsian yang melibatkan Fail Kes Mal/Jenayah Tahun 2015 Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Selangor. Bengkel ini merupakan kesinambungan daripada Bengkel Pelupusan Rekod Siri I yang telah diadakan pada 19 Jun 2026 bagi memastikan keseluruhan proses pelupusan rekod dilaksanakan secara menyeluruh, sistematik dan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Arkib Negara Malaysia.

Bengkel yang berlangsung di Pejabat Seksyen Rekod, Aras G, JAKESS bermula dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang ini memberi tumpuan kepada pelaksanaan kerja-kerja lanjutan semakan, pengasingan, penilaian serta penyediaan rekod untuk proses pelupusan. Aktiviti tersebut dilaksanakan mengikut Akta Arkib Negara 2003 (Akta 629), Jadual Pelupusan Rekod Urusan Fungsian JKSM yang berkuat kuasa serta prosedur pelupusan rekod yang ditetapkan oleh Arkib Negara Malaysia.

Sepanjang bengkel berlangsung, ahli jawatankuasa meneruskan proses semakan terperinci terhadap Fail Kes Mal/Jenayah Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Selangor Tahun 2015 yang telah mendapat kelulusan pelupusan daripada Arkib Negara Malaysia. Proses ini melibatkan pengesahan senarai pelupusan, pengasingan rekod mengikut kategori, semakan akhir terhadap dokumen serta penyediaan rekod untuk tindakan pelupusan. Pelaksanaan Bengkel Pelupusan Rekod Siri II ini melengkapkan proses pelupusan yang melibatkan 3,088 fail kes dengan ukuran keseluruhan 55.584 meter panjang, sekali gus memastikan rekod yang telah tamat tempoh penyimpanan diuruskan secara teratur, cekap dan mematuhi semua peraturan yang berkuat kuasa.

Selain itu, peserta turut menjalani latihan amali yang memberi penekanan kepada tatacara pengendalian rekod sebelum pelupusan, kaedah pengasingan dokumen yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran, penyediaan dokumentasi pelupusan serta pematuhan terhadap aspek keselamatan dan kerahsiaan rekod jabatan. Pendekatan latihan secara praktikal ini berjaya meningkatkan kefahaman, kemahiran dan keyakinan ahli jawatankuasa dalam melaksanakan proses pelupusan rekod secara profesional dan berintegriti.

Bengkel ini dikendalikan oleh fasilitator daripada Seksyen Rekod JAKESS iaitu Encik Sofian bin Ibrahim, Puan Nuraziraakmar binti Othman dan Puan Khairun Iman Nadhira binti Norazli. Sepanjang bengkel berlangsung, para fasilitator telah memberikan bimbingan dan pemantauan secara berterusan bagi memastikan setiap proses pelupusan rekod dilaksanakan dengan tepat mengikut prosedur yang ditetapkan. Kerjasama dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh semua ahli jawatankuasa telah membantu melancarkan pelaksanaan bengkel serta memastikan objektif program berjaya dicapai.

Pada akhir bengkel, setiap peserta telah menerima cenderahati khas daripada Seksyen Rekod JAKESS sebagai tanda penghargaan atas komitmen, kerjasama dan penglibatan aktif sepanjang pelaksanaan Bengkel Pelupusan Rekod Siri II. Penyampaian cenderahati tersebut turut mencerminkan penghargaan jabatan terhadap sumbangan ahli jawatankuasa dalam menjayakan proses pelupusan rekod secara sistematik, teratur dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Penganjuran Bengkel Pelupusan Rekod Siri II ini membuktikan komitmen berterusan JAKESS dalam memperkukuh tadbir urus pengurusan rekod melalui pelaksanaan proses pelupusan yang sistematik, cekap dan berintegriti. Pelaksanaan siri kedua ini bukan sahaja melengkapkan keseluruhan proses pelupusan Fail Kes Mal/Jenayah Tahun 2015 Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Selangor, malah turut memperkukuhkan kompetensi Ahli Jawatankuasa Pelupusan Rekod Urusan Fungsian dalam melaksanakan tanggungjawab berkaitan pengurusan rekod mengikut kehendak perundangan. Inisiatif ini selaras dengan usaha berterusan JAKESS untuk memastikan rekod yang mempunyai nilai arkib dipelihara dengan sempurna, manakala rekod yang telah tamat tempoh penyimpanan dilupuskan secara teratur demi meningkatkan kecekapan pengurusan rekod jabatan.